Di mana letaknya bahagia? Hati. Tetapi untuk mengerakkan hati supaya bahagia dan kekal bahagia kita memerlukan ‘mindset’ yang betul. Agama kita melarang kita berburuk-sangka. Walau tiada siapa tahu kita sangka-sangka dengan orang lain tetapi Allah tahu. Kita juga disuruh optimistik dan tolak jauh-jauh rasa bimbang dan risau (konsept tawakkal). Kenapa kita perlu memusatkan fikiran kita ke arah yang positif sahaja? Kerana ia akan mempengaruhi tindakan kita dan usaha kita untuk mencapai apa yang kita inginkan.
Saya masih ingat sewaktu kecil, kami, adik-beradik suka bercakap tentang apa yang kami mahu. Dilahirkan daam keluarga yang besar, keutamaan abah dan ummi adalah pemakanan yang sihat dan pelajaran. Jadi, kami mungkin keluarga yang terakhir mempunyai tv di kampung kami. Seperti kanak-kanak lain, kami begitu teringin menonton tv. Jadi setiap petang, semasa menikmati minum petang, kami akan berangan-angan mempunyai tv. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun membayangkan ada tv di rumah, akhirnya abah membeli sebuah tv. Kami sangat gembira. Begitu juga keinginan untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Semenjak di sekolah rendah saya telah membayangkan saya berjaya mendapat peluang belajar ke luar negara. Alhamdulillah, Allah izinkan saya ke UK.
Rupa-rupanya saya selalu berjaya mencapai apa yang saya inginkan dahulu kerana saya berfikiran positif. Kenapa setelah bekerja bertahun-tahun, saya berhenti menumpukan fikiran saya ke arah apa yang saya inginkan. Adakah saya tidak mahu termasuk dalam golongan yang panjang angan-angan, mungkin ya, saya tidak mahu dipermainkan dan dipujukrayu oleh syaitan supaya lalai dalam membuat persediaan untuk dibawa ke dunia yang kekal abadi. Berfikiran positif dan berangan-angan panjang adalah dua perkara yang sangat berbeza rupanya.
Berangan-angan panjang adalah hobi mat jenin. Hanya berangan tanpa berusaha. Berfikiran positif seiringan dengan usaha yang betul. Saya akan betulkan kaedah berfikir saya ini. Saya akan fikirkan saya dengan izin Allah akan mencapai apa yang saya impikan dan inginkan dalam hidup ini, insya-Allah. Mari kita sama-sama kawal fikiran kita dan buang jauh-jauh sebarang kebimbangan. Mari kita bulatkan hati percaya yang kita mampu dan boleh mencapai apa sahaja kehendak kita jika diizinkan Allah. Tetapi marilah kita inginkan perkara yang baik-baik dan bermanfaat kepada diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang ada di sekeliling kita agar kita bukan sahaja Berjaya di dunia tetapi juga Berjaya di akhirat.

No comments:
Post a Comment