Monday, 22 October 2012

Pengorbanan ibubapa



Raya haji menjelma lagi. Ramai yang ambil peluang untuk balik kampung dan mungkin ramai juga yang tak balik kampung sebab cuti tak cukup. Selalunya raya haji disambut sederhana berbanding raya puasa walaupun sebenarnya ia juga hari kebesaran umat Islam. Banyak yang tersirat dan tersurat dalam sambutan hari raya.

Ia juga dikenali sebagai hari raya korban. Kita berkorban sedikit wang kita untuk sedekah daging korban kepada individu yang layak. Elok juga kita renungi pengorbanan ibu bapa kita. Walau di mana dan dari mana kita dibesarkan, kita berjaya atas pengorbanan ibu bapa dan keluarga. Cuba kita renung sikit akan kesusahan ibu bapa kita membesarkan kita. Kalau kita dimurahkan rezeki, jangan lupa pastikan ibu bapa juga dapat merasainya. Insya-Allah, rezeki kita akan lebih murah dan hidup kita akan lebih diberkati Allah. Bukankan Allah SWT dan Nabi kita menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, hatta kita dilarang mengeluarkan kata ‘ah’ kepada mereka.

Ramai yang sangat kasih dan sayang kepada ibu bapa mereka yang saya jumpa, hidup mereka mudah dan sangat murah rezeki. Walaupun dah kahwin, tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa perlu dipenuhi selagi kita ada masa. Saya rasa ‘ibu bapa adalah lubuk pahala’. Seandainya mereka masih ada, sayang dan kasih lah mereka. Sabar dan layanlah apa sahaja kerenah mereka. Kerana sesungguhnya kebaikan nya adalah untuk kita. Rezeki kita akan lapang, rezeki kita akan melimpah ruah dan urusan hidup kita dipermudahkan. Tak perlu tunggu mereka minta bantuan, ‘be proactive’. Selalu fikirkan apa yang mereka perlukan.

Kadang-kadang mereka tak perlu wang ringgit. Rezeki mereka pun lebih daripada mencukupi untuk keperluan harian mereka. Tapi sangat cantik dan beradab kalau kita tak lupa menghulurkan sedikit wang tatkala bersalam-salaman sebagai tanda kita menghargai mereka. Ucapkan kata-kata yang manis dan rendahkan diri kita di hadapan mereka. Ia sedikit pun tak merugikan.

Malah ia sangat menguntungkan. Pertama, rezeki kita akan Allah lapangkan. Kedua, hati kita akan rasa bahagia. Ketiga, urusan kita Allah permudahkan. Keempat, kita akan mendapat kasih sayang mereka yang bertambah-tambah. Banyak lagi bentuk pulangannya dalam pelbagai bentuk seperti rumahtangga kita lebih bahagia etc.

Justeru itu jom kita pulang ke kampung menjenguk ibu bapa kita. Ibu bapa mertua pun mesti dilayan seperti ibu bapa sendiri.  Kalau mereka dah tak ada, rajin2lah doakan mereka dan sedekahkan ayat-ayat Al-Quran untuk mereka. Mudah-mudahan kalau kita diberi rezeki zuriat, anak-anak kita pun akan lakukan yang sama terhadap kita. Bukankah hidup ini ibarat pusingang roda. Yang muda akan tua, yang tua akan semakin tua. Kalau kita bersikap buruk terhadap mereka, takut2 nanti anak kita pun akan layan kita dgn buruk. Mudah-mudahan Allah jauhkan ia dari menimpa kita.

Selamat menyambut hari raya haji semua. Semoga ia dapat diraikan bersama keluarga tercinta.

No comments:

Post a Comment