Monday, 25 April 2011

Hati – celik kah?

Hari ini saya tercari-cari idea untuk menulis. Kalau boleh biarlah saya menulis setiap hari. Saya hendak menulis sesuatu yang memberi peringatan kepada diri sendiri yang kadang-kadang alpa dan asyik dengan urusan dunia. Bukan tidak tahu yang Allah telah memberi amaran ‘dan barangsiapa yang buta (hati) di dunia ini, nescaya dia buta pula di akhirat dan lebih sesat jalannya (ayat 72, Al-Israak). Janganlah hati ini buta. Celiklah wahai hati. Ikutlah Manual Kehidupan yang telah Nabi Muhamad S.A.W tinggalkan. Selalunya saya akan cuba sedaya upaya untuk menghadiri majlis-majlis ilmu kerana di situ hati bagai di ‘recharge’. Kalau tidak semakin malap le dan mungkin akan gelap terus. Nauzubillah.

Bercakap soal hati yang buta, perbualan saya dengan abah petang tadi menyedarkan saya betapa murninya hati ibu dan bapa. Semasa masih kanak-kanak dan remaja, abah dan ummi akan menegur dan memberi nasihat sekiranya perlu. Tetapi apa bila telah kami dewasa, mereka tidak akan mempersoalkan tindakan kami walaupun sebenarnya hati mereka terluka atau terkilan. Pandai-pandai lah kami, anak-anak abah dan ummi  untuk menjaga tutur kata dan tingkahlaku agar tidak melukai hati mereka. Oh hati, sensitiflah bila bercakap dan bergaul dengan ibu bapa. Mereka mungkin terasa hati dalam diam. Saya berdoa moga saya dan adik-beradik saya dan sesiapa sahaja yang masih bertuah kerana masih diberi nikmat mempunyai ibu dan bapa agar sentiasa celik hati dan berusaha untuk menghiburkan hati mereka. Suatu hari nanti sekiranya ada rezeki kita juga akan menjadi ibu atau bapa dan sudah tentu kita dambakan anak-anak yang baik budi pekertinya. Jom jadi anak-anak yang sentiasa berbuat baik dengan ibu bapa kita, insya-Allah.

Friday, 22 April 2011

Senang & Tenteram

Saya baru sahaja membaca Al-Quran, rutin yang sangat saya cintai semenjak kecil lagi. Tabiat ini juga hasil didikan abah. Tidak pernah puas atau jemu membacanya. Kalau tidak membuka Al-Quran dalam sehari, hati akan rindu. Niat saya setiap kali membaca bismillah ialah ‘moga Allah memberi ku dan saudara-saudara seislamku manfaat’.

Bacaan ku malam ini adalah Surah Ra'd. Mengikut keterangan tafsirnya, hati orang yang beriman sangat senang dan tenteram walau dalam apa jua keadaan. Ketika susah, mereka tetap berhati senang dan tenteram. Tatkala dikurniakan nikmat, mereka bersyukur dan akan tetap merendah diri. Ini lah rahsia untuk mendapatkan hati yang bahagia, iaitu dengan meningkatkan tahap keimanan kita.  Alhamdulillah atas kesedaran ini, walaupun mungkin agak lewat tetapi ‘it’s better late than never’.

Di dalam surah ini juga ada ayat tentang banyak mana rezeki yang kita dapat atau untuk sesiapa sahaja dapat adalah hak Allah. Jadi kenapa kita nak rasa kurang senang atas nikmat yang orang lain dapat. Mudah-mudahan masyarakat kita, terutamanya orang-orang Melayu faham dan hayati ayat ini agar kita tidak dengki bila orang lain mendapat rezeki yang lebih. Supaya hati kita tetap senang dan tenteram. Lebih elok kalau kita sama-sama gembira apa bila saudara-mara atau rakan-rakan atau sesiapa sahaja dikurniakan rezeki dalam apa sahaja bentuk macam anak-anak yang ramai, bijak dan baik ke, pangkat ke, kejayaan dalam pengajian ke dan sebagainya. Mungkin kita tak berniat nak berasa kurang senang, mungkin kerana dihasut oleh syaitan. Nak kena kuatkan perisai untuk menangkis bisikan dan hasutan syaitan nie. Mungkin tips di bawah  berkesan. Mari cuba praktikkan.   

Indahnya Alam ciptaan Allah


Monday, 18 April 2011

Rezeki – cukupkah? Hati – bahagiakah?

Sudah lumrah manusia inginkan pangkat, harta, dan anak-anak yang banyak. Ramai yang bekerja siang dan malam untuk mengumpul kekayaan. Tetapi adakah hati mereka bahagia? Kehendak manusia selalunya tidak berbatas. Semua ingin dimiliki. Alangkah beruntungnya mereka yang hati nya tidak terikat dengan harta dunia. Saya cemburu dengan rakan-rakan yang Allah kurniakan harta dan kesenangan hidup tetapi kesenangan dan nikmat yang mereka kecapi itu membawa mereka lebih dekat dengan Allah. Semakin kaya mereka semakin tunduk dan tawadhuk, cukup merendah diri dan semakin murni tutur-kata dan akhlak mereka. Pada pandangan saya mereka ini sungguh bahagia.

Saya masih ingat kenangan semasa mula-mula bekerja dahulu. Terlalu panjang senarai harta yang saya hendak beli. Semestinya gaji yang saya perolehi tidak mencukupi. Tetapi rakan serumah saya yang hanya bekerja di tadika, bergaji RM350, mampu untuk membeli macam-macam hadiah untuk ibu bapanya di kampung dan beliau sentiasa kelihatan gembira dan bahagia. Begitu berbeza dengan saya yang bergaji beribu ringgit tetapi selalu merasakan duit saya tidak cukup.

Apakah rahsia rakan serumah saya ini? Belia tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain. Masanya dihabiskan dengan di tadika, mendidik kanak-kanak yang baru hendak mengenali dunia. Dengan penuh kesabaran beliau melayan anak-anak didiknya. Melalui pemerhatian saya, rezeki beliau berkat. Belia tidak berkira masa dan wang. Tidak pernah merungut sekiranya terpaksa bekerja lebih masa menunggu anak-anak yang ibu bapa mereka lewat jemput di tadika. Jadi rahsianya  adalah berkat. Rezeki yang berkat akan sentiasa cukup. Semenjak saat itu, saya berusaha untuk memperbaiki hubungan diri dengan Allah dan bekerja dengan  lebih tekun dan ikhlas. Terasa impaknya kerana selepas itu saya merasakan rezeki saya sentiasa cukup. Sebenarnya tidak rugi bekerja lebih daripada yang dituntut majikan. ‘Reward’ akan kita perolehi dalam pelbagai bentuk. Salah satu daripadanya adalah hati yang bahagia, kecukupan wang dan kehidupan yang selesa. Ketika itu baru lah saya faham kenapa abah saya sentiasa menasihati kami, anak-anaknya supaya memastikan rezeki kami berkat. Katanya biar sedikit asalkan berkat.